
22 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 24 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) hari ini menggesa  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan siasatan ke  atas pihak Utusan Malaysia berhubung karikatur yang disiarkan 15 Jun  lalu, didakwa menghina Islam.
DMMP juga mahu Jawi menyiasat pembabitan biro politik Umno dalam pengeluaran dan penerbitan karikatur tersebut.
Ketua  DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof membuat gesaan tersebut selepas membuat  aduan dan menyerahkan memorandum bantahan di pejabat Jawi pagi tadi.
"Kami  harap tindakan yang sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera kerana  tindakan Utusan Malaysia jelas menghina dan merendah-rendahkan martabat  Islam serta mempermain-mainkan hukum yang telah tersabit dalam Islam,"  kata beliau.
Memorandum tersebut diterima penolong pegawai tadbir bahagian khidmat pengurusan Jawi, Nasaruddin Mohd Zainal.
Karikatur  yang dihasilkan pelukis yang dikenali sebagai Miki itu membuat dua  perbandingan mengenai kaedah pelaksanaan hukuman jenayah rogol.
Gambar pertama yang merujuk kepada dialog antara pengadu wanita dan 'tok penghulu' yang berimejkan seorang alim.
Tok  penghulu tersebut telah menolak aduan tersebut setelah wanita itu tidak  mempunyai empat orang saksi walaupun ia mempunyai rakaman kejadian  tersebut menggunakan telefon bimbit.
Sebaliknya gambar kedua pula merujuk kepada dialog di antara pengadu wanita dan seorang yang digambarkan sebagai anggota polis.
Pihak polis menerima rakaman telefon bimbit untuk dijadikan bukti aduan rogol tersebut.
Siti  Zailah turut mendakwa tindakan Utusan Malaysia itu meletakkan akhbar  milik Umno itu setaraf dengan akhbar-akhbar Denmark yang pernah  menimbulkan kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW.
Sehubungan  itu DMPP mahu editor Utusan Malaysia dihadapkan ke mahkamah atas  tuduhan menghina dan mempermainkan hukum Qazaf yang jelas termaktub  dalam al Quran dan sunnah serta hukum jenayah Islam.
"Tindakan  ini berlandaskan peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah  (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559," katanya yang juga ahli  Parlimen Rantau Panjang.
Tanggungjawab Jawi
Sementara  itu, Timbalan DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud menegaskan, mereka menunggu  tindakan segera daripada pihak Jawi berhubung aduan dan memorandum yang  diserahkan.
"Jawi bertanggungjawab menyiasat sebab kita dah buat aduan.
"Saya sebagai pengadu utama menunggu pihak Jawi memanggil saya untuk diambil keterangan.
"Kalau tak panggil saya untuk beri keterangan, saya mesti tahu kenapa (tak panggil)," katanya.
Tambahnya, tindakan Utusan Malaysia jelas mengelirukan fikiran rakyat khususnya orang Islam.
"Utusan  Malaysia kata mereka pemangkin fikiran rakyat. Tapi kalau siarkan  karikatur hina Islam ini,fikiran bagaimana yang mereka nak  sebarkan?"katanya yang juga ahli Parlimen Kota Raja.
Dalam  pada itu, DMPP kata Zailah menyokong penuh kempen boikot Utusan  Malaysia (UM-NO) yang dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minggu lalu.
"Dewan Muslimat menyeru setiap ahli DMPP memboikot akhbar Utusan Malaysia secara total," katanya.
Hazayani Zakaria 
harakahdaily/-
