skip to main  |
      skip to sidebar

 
- Ayatollah Ruhollah Musavi Khomeini (Bahasa Parsi: روح الله موسوی خمینی Rūḥollāh Mūsavī Khomeynī) (17 Mei 1900[1] - 3 Jun 1989) adalah seorang ulama Shia muslim dan pemimpin Revolusi Iran pada tahun 1979. Beliau berjaya menyingkirkan Shah Mohammad Reza Pahlavi dan kerajaan kuku besi Shah Mohammad. Seterusnya Khomeini mengasaskan Republik Islam Iran dan menjadi Pemimpin Agung pertama sehinggalah kewafatan beliau.
 
- Ruhollah dilahirkan dalam keluarga Ayatollah Seyyed Mostafa Musavi dan Hajieh Agha Khanum di pekan Khomein, 300 km dari bandar Tehran. Kelahiran beliau sama ada pada 17 Mei, 1900[1] atau 24 September 1902.[2] Beliau digelar sayyid dan juga didakwa merupakan keturunan nabi Muhammad SAW menerusi keturunan Imam Mousa Kazem. Datuk sebelah bapa beliau, Seyyed Ahmad Musavi Hindi dilahirkan di Kintur, sebuah kampung di Wilayah Barabanki, Uttar Pradesh, India.
 Beliau berhijrah ke Iran pada tahun 1834 dan membeli sebuah rumah di 
Khomein pada tahun 1838. Datuk sebelah ibu Khomeini pula ialah Mirza 
Ahmad Mojtahed-e Khonsari, seorang ulama dari Iran Tengah. Beliaulah 
yang mengharamkan orang Islam untuk menggunakan tembakau berikutan 
pemberian monopoli perdagangan tembakau oleh Shah kepada syarikat Inggeris. Ini merupakan titik permulaan penglibatan ulama dalam politik Iran.
 
- Bapa Khoemeini dibunuh ketika Khomeini masih berumur lima tahun. 
Sejarahwan mendakwa kematian bapa beliau berpunca daripada konflik 
tempatan dan tiada kena mengena dengan Shah Iran. Khomeini kemudiannya 
dibesarkan oleh ibu beliau dan juga ibu saudara beliau. Ketika beliau 
berumur 15 tahun, kedua-duanya meninggal dunia pada tahun yang sama. 
Khomeini mula belajar Quran ketika berumur enam tahun.[3] Beliau mendapat pendidikan awal di rumah dan juga di sebuah sekolah tempatan dan dibawah penjagaan Mullah Abdul-Qassem dan Sheikh Jaffar. Beliau juga turut dijaga oleh abang beliau, Ayatollah Pasandideh.[4] Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di sebuah seminari Islam di Arak, sebuah kota di Iran pada tahun 1921. Khomeini memilih seminari itu kerana ia dibawah pimpinan Ayatollah Sheikh Abdol-Karim Haeri-Yazdi. (Murid kepada seorang ulama terkenal dari Najaf, Iraq) 
 
- Tahun berikutnya, Ayatollah Haeri-Yazdi memindahkan seminari itu ke Qom dan Khomeini turut sama berpindah ke sana. Selepas tamat pengajian, beliau mula membuat kajian mengenai undang-undang Sharia, Filasafah Islam dan juga ilmu mistik Irfan dan menerbitkan buku-buku mengenai kajian beliau.Walaupun ketika awal pengajian beliau, Khomeini tidak aktif dalam 
politik, tetapi kajian dan buku-buku terbitan beliau membuktikan bahawa 
beliau percaya yang ulama haruslah melibatkan diri dalam politik. Beliau
 adalah antara ulama-ulama Iran yang pertama membangkang sistem sekular 
pada 1940 an. Gelaran marja kemudiannya dianugerahkan kepada beliau pada tahun 1963, berikutan kawafatan Ayatollah Seyyed Husayn Borujerdi.
 
- Apabila Shah Reza Pahlavi dimahkotakan menjadi Shah Iran, golongan ulama ditindas melalui polisi anti ulama dan juga Revolusi Putih beliau. Kebijakan ini kemudiannya diteruskan oleh putra beliau, Shah Mohammad Reza Pahlavi.[5] 
 
- Pada Januari 1963, Shah Iran mengumumkan projek "Revolusi Putih". 
Projek merangkumi enam perkara dalam permodenan Iran iaitu reformasi 
tanah, pemulihan dan pemeliharaan hutan negara, menswastakan badan 
kerajaan, memperbaiki kondisi hak-hak wanita, perkongsian keuntungan 
dalam industri, dan memerangi buta huruf. Walaupun tujuan polisi ini 
baik, tetapi pelaksanaannya menggugat kedudukan ulama Iran. Pada 
November 1964, beliau mengkritik Shah kerana memberi pelindungan 
diplomatik kepada pegawai tentera Amerika. Ini menyebabkan beliau 
dibuang negeri pada bulan yang sama.
Ayatollah Khomeini menghabiskan banyak masa dalam buangan beliau di Najaf, Iraq tetapi kemudiannya dipindahkan ke Neauphle-le-Château di Perancis selepas naiknya Saddam Hussein. Ketika di Najaf, Khomeini banyak memberi ucapan dan syarahan mengenai negara Islam dan kemudiannya menerbitkan Hokumat-e Islami: Wilayat al-Faqih, sebuah buku yang kemudiannya menjadi asas kepada Republik Islam Iran.
- Ketika didalam buangan, Khomeini enggan pulang ke Iran selagi Shah Mohammad Reza masih memerintah[6]. Pada 16 Januari, 1979,
 Shah Mohammad meninggalkan Iran atas alasan untuk percutian. Tetapi 
beliau tidak pernah kembali selepas itu. Dua minggu selepas itu, Imam 
Khomeini pulang semula ke Iran dan ketibaan beliau di Tehran disambut 
dengan meriahnya oleh penduduk Iran.
 
-  Selepas jatuhnya monarki Pahlavi, Iran diperintah oleh kerajaan sementara yang dikepalai Shapour Bakhtiar. Walau bagaimanapun, kerajaan ini tidak dipersetujui oleh Khomeini.[8] Pada 11 Februari, Khomeni melantik Mehdi Bazargan sebagai perdana menteri Iran.
 Tindakan ini menyebabkan kerajaan Iran berpecah kepada dua, iaitu 
kerajaan sementara Shapour Bakhtiar dan kerajaan revolusi Khomeini dan 
akhirnya berlakulah pergeseran antara dua kumpulan ini. Kerajaan 
Bakhtiar kemudiannya kalah dalam persaingan ini apabila ketenteraan 
mengisytiharkan untuk berpendirian neutral.[9]. Pada 30 Mac, 1979 dan keesokan harinya, sebuah referendum diusulkan bagi membentuk sebuah Republik Islam dan cadangan ini mendapat sokongan 98% penduduk Iran. Abolhassan Banisadr pula dilantik oleh Khomeini untuk menjadi presiden Iran pertama. 
 
- Ayatullah Khomeini Meninggal Dunia pada 3 Jun 1989.  
 
  
 
 
 
0 Responses so far.