23  Jamadil Awal  1434 H. [MOD] -
Menteri Besar Khalid Ibrahim mahu semua pengundi di negeri itu melaksanakan tanggungjawab mengundi secara bijak.
KLANG: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap 
rakyat Selangor masih memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk 
memerintah petadbiran negeri selepas Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).
“Kepada semua pengundi di Selangor saya berharap agar mereka 
melaksanakan tanggungjawab mengundi secara bijak dengan memilih kerajaan
 yang mengutamakan kebajikan rakyat, amanah, telus dan bertanggungjawab 
demi menjamin masa depan generasi akan datang.
“Saya juga mengharapkan rakyat di Selangor ini terus memberi mandat 
kepada Pakatan Rakyat demi kelangsungan kecemerlangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas selesai upacara
 rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Istana Alam Shah di 
sini kira-kira pukul 2 petang tadi hari ini.
Upacara Warkah Pembubaran itu ditandatangani Sultan Selangor, Sultan 
Sharifuddin Idris Shah dihadapan Abdul Khalid serta Ahli-Ahli Dewan Di 
Raja yang lain.
Abdul Khalid berkata, beliau yakin Pakatan masih mampu memerintah 
berdasarkan respon positif yang diterima daripada rakyat terutamanya 
kakitangan kerajaan Selangor yang merasai perubahan cara kerja yang 
lebih efisyen.
Katanya, perubahan besar berlaku apabila kemakmuran dapat disalurkan 
terus kepada rakyat, berbeza dengan budaya kronisme yang diamalkan 
semasa pentadbiran negeri di bawah Umno.
“Di awal tahun 2008 kita masih belum bersedia mengatasi masalah 
birokrasi dalam pentadbiran negeri dan kami mengambil masa enam hingga 
lapan bulan untuk menyelesaikannya.
“Selepas itu baru kami sedar kami perlu bekerja lebih proaktif untuk 
melaksanakan reformasi sistem kerja sehingga berjaya sampai ke tahap 
ini,” katanya.
FMT/-
