1  Jamadil Akhir  1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: “Atas
 dasar keprihatinan itulah saya merasa terpanggil untuk menawarkan diri 
berbincang, berbahas dan berdialog antara saya selaku calon PAS di 
Parlimen Titiwangsa, Mohammad Faizal mewakili OKU Bangkit serta calon 
Umno khususnya di Parlimen Titiwangsa,” ujar Ahmad Zamri Asa’ad 
Khuzaimi.
Bahkan calon PAS P119 Parlimen Titiwangsa pada PRU13 itu bersedia untuk 
bertemu dan bersemuka dengan mana-mana pemimpin Umno bersama Mohammad 
Faizal Che Yusof bagi membuktikan masa depan orang kelainan upaya (OKU) 
bersama PR lebih terjamin berbanding kehidupan mereka selama ini di 
bawah BN.
Berikut kenyataan penuh beliau.
1. Susulan daripada berita yang disiarkan oleh media melalui akhbar The 
Sun yang bertajuk “The disabled want debate on their rights” pada hari 
semalam oleh Mohammad Faizal Che Yusof yang mencadangkan suatu debat 
dilakukan antara calon Pakatan Rakyat bersama calon Barisan Nasional 
mengenai nasib dan masa depan Orang Kelainan Upaya (OKU).
2. Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Mohammad Faizal Che Yusof 
itu. Beliau mengemukakan keluhan bagaimana layanan dan nasib yang 
diterima oleh OKU di seluruh negara di bawah pemerintahan Barisan 
Nasional selama ini. Lebih-lebih lagi keadaan yang mendesak ketika ini, 
dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, masalah pengangguran, 
ekonomi yang menjerat rakyat, kadar kemiskinan terutama di kawasan 
bandar semakin meningkat, adalah wajar OKU membangkitkan kebimbangan 
mereka apatah lagi menjelang pilihan raya umum ke 13. Dianggarkan 
seramai 2.8 juta atau 10% rakyat Malaysia yang mengalami OKU pelbagai 
kategori. Sama ada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, mampukah 
mana-mana pemenang PRU ke 13 kelak membela nasib dan mengangkat martabat
 OKU, ia perlu diketahui dan diperjelaskan terhadap seluruh rakyat.
3. Sdr Mohammad Faizal telah mencadangkan debat memandangkan keluhan dan
 rintihan selama ini tidak pernah dilayan, didengari atau diambil 
perhatian. Kehidupan OKU masih lagi di takuk lama, bahkan kebanyakan OKU
 dipandang remeh oleh masyarakat seolah-olah mereka ini adalah golongan 
kelas kedua yang terpaksa menagih simpati dan berharap belas ihsan 
masyarakat hidup. Kerajaan BN pula tidak memandang golongan ini dengan 
perhatian utama dengan membiarkan golongan ini terkial-kial hidup dalam 
masyarakat sehingga ada kalangan mereka yang tersisih daripada 
pembangunan.
4. Pakatan Rakyat telah melancarkan manifesto pada 25 Februari 2013 dan 
menekankan pelbagai aspek untuk diberi perhatian dan OKU antara salah 
satu daripadanya. PR melihat OKU adalah golongan rakyat yang mesti 
diberi perhatian sewajarnya. Sebagai kerajaan menanti (in waiting 
government) PR berazam dan berikhtiar membantu OKU sedaya upaya supaya 
golongan ini mempunyai kedudukan dan hak setaraf insan sempuna.
5. PR berazam memastikan setiap golongan OKU dibantu, diberi perhatian, 
pendidikan yang mencukupi dan meliputi pelbagai kecacatan yang mereka 
alami, diberi sumbangan sejajar dengan keperluan dan taraf hidup mereka,
 memberikan pekerjaan sesuai dengan kemampuan mereka, kemudahan 
perumahan dan lain-lain.
6. Atas dasar keprihatinan itulah saya merasa terpanggil untuk 
menawarkan diri berbincang, berbahas dan berdialog antara saya selaku 
calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Sdr Mohammad Faizal mewakili OKU 
Bangkit serta calon UMNO khususnya di Parlimen Titiwangsa. Bahkan saya 
bersedia untuk bertemu dan bersemuka dengan mana-mana pemimpin UMNO 
bersama sdr Faizal bagi membuktikan masa depan OKU bersama PR lebih 
terjamin berbanding kehidupan mereka selama ini di bawah BN. Saya 
menyerahkan kepada saudara Faizal untuk menetapkan tarikh, masa dan 
tempat perdebatan ini dilangsungkan. Saya juga mengharapkan respons yang
 positif dari pemimpin UMNO khususnya calon UMNO Titiwangsa supaya 
mereka mampu menjelaskan apakah masa depan yang akan mereka tawarkan 
kepada rakyat terutama kepada golongan OKU.
Harakahdaily/-
