25  Jamadil Awal  1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Tindakan
 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menandatangani Ikrar 
Integriti Pilihan raya bersama Trasparency International Malaysia pada 
20 April lalu disifatkan sebagai kosmetik semata-mata. 
Ini
 kerana, baru sahaja empat hari parlimen dibubarkan, semalam Najib Tun 
Razak pula mengumumkan tiga projek pembangunan di Cyberjaya membabitkan 
kos keseluruhan mencecah RM8 bilion bermula tahun ini. 
Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar,  Najib telah menipu rakyat negara ini dengan apa yang pernah dijanjikan sebelum ini.
Katanya,
 Najib dilihat telah menyalahgunakan kuasa apabila mengumumkan projek 
berskala mega sedangkan ianya menyalahi garis panduan kerajaan 
sementara.
"Sepatutnya
 dia tidak ada hak untuk mengumumkan apa-apa projek dan dia hanya boleh 
buat urusan pentadbiran sahaja misalnya soal gaji kakitangan awam," kata
 Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau
 turut meminta rakyat negara ini melihat sendiri pemimpin parti dan 
kerajaan BN yang secara terang-terangan telah membohongi mereka.
"Adakah rakyat Malaysia masih ingin memilih pemimpin dan kerajaan yang pembohong?" soal Mahfuz.
Semalam,
 Najib mengumumkan tiga projek iaitu merangkumi  pembinaan sebuah 
masjid, 2,500 unit rumah kediaman termasuk 794 unit di bawah Projek 
Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta pembangunan pusat bandar 
Cyberjaya.
Perdana
 Menteri berkata, pembinaan masjid bernilai RM62 juta yang mampu 
memuatkan 8,500 jemaah akan dibina di atas tapak seluas 6.8 hektar dan 
dijangka siap pada 2015.
Selain
 pembinaan masjid, Perdana Menteri turut mengumumkan pembangunan projek 
perumahan di tapak seluas 43.6 hektar dengan kos RM1.2 bilion.
Katanya,
 sebanyak 2,500 unit rumah dan komersial akan dibina dalam satu 
persekitaran unik dan kondusif pada harga mampu milik untuk rakyat 
kategori profesional dan pendapatan sederhana berharga antara RM220,000 
dan RM250,000.
Harakahdaily/-
