Pilihan raya umum semakin dekat. Kita semua sudah lama merasai 
bahangnya. Walaupun ramalan demi ramalan berkaitan tarikh pilihan raya 
sudah tersasar, hakikatnya kita semakin mendekati hari pilihan raya. 
Pilihan raya, sebagai mana kita maklum adalah proses memilih pemimpin. 
Itulah sistem diperkenal serata dunia serta dicanang sebagai sistem 
terbaik bagi memilih pemimpin. Proses pilihan raya ini bukan suatu yang 
mudah. Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bakal menjadi pilihan raya 
penting yang pastinya ditunggu-tunggu banyak pihak.
Apa yang menarik 
kali ini ialah jumlah pengundi baru.  Sejak 2008 hingga 2013, ada 
sekitar 2.5 juta pengundi baru, mencakupi peningkatan hampir 25% 
daripada jumlah pengundi Malaysia yang didaftarkan oleh SPR. 
Pengalaman
 negara kita mungkin lebih baik daripada beberapa negara lain yang 
seusia. Walaupun begitu kita tidak mengambil ringan mengenai ini, 
terutama mengenai aspek ketenteraman dan kesejahteraan. Tidak kurang 
susahnya dalam proses pilihan raya ini ialah peranan yang perlu 
dimainkan pengundi. 
Pengundi sebagai penentu kepada kejayaan sesuatu 
pilihan raya, bukan setakat penyelesaian teknikal, tetapi penyelesaian 
kepada isu pokok kenapa pilihan raya dilaksana, iaitu memilih pemimpin 
yang tepat dan hebat. 
Kehangatan pilihan raya lalu dan lumba politik 
antara 2008 hingga 2013 dikira menjadi pendorong utama bagi ramai orang 
yang layak mengundi untuk keluar mendaftar dan kelak membabitkan diri 
mereka dalam proses pemilihan pemimpin. Parti politik yang bertanding 
pada pilihan raya perlu berwaspada terhadap fakta nombor ini. 
Hakikatnya
 trend sokongan 2.5 juta pengundi baru sudah pasti memberi pengaruh 
besar terhadap keputusan pilihan raya, apatah lagi sukar dijangka 
golongan itu bakal lebih memihak kepada siapa. Dalam sistem demokrasi 
yang ditambah dengan perisa politik untuk kuasa dan kepentingan diri, 
sebenarnya mendatangkan kepayahan kepada rakyat untuk memilih pemimpin 
yang tepat dan hebat itu. 
Dalam keadaan ini, rakyat, sebagai ‘political 
sovereign’ perlu lebih bijak dan matang untuk memilih. Rakyat hendaklah 
jauhkan emosi atau sentimen kepartian yang melampau. Ramai calon pilihan
 raya yang boleh menjadi pemimpin, tetapi tidak ramai yang boleh menjadi
 pemimpin yang hebat. 
Malaysia memerlukan pemimpin yang hebat ini. 
Mereka hendaklah berintegriti tinggi, berani, mempunyai kesungguhan, 
berwawasan, berkefahaman mengenai dunia dan akhirat. Malaysia juga 
memerlukan pemimpin yang boleh bertoleransi dalam hal yang tidak 
mendatangkan kemudaratan kepada agama dan negara. Malaysia juga 
memerlukan pemimpin yang tinggi moral dan peribadinya. 
Pemimpin yang 
berpegang kepada amanah akan membuat kita berasa selamat. Negara juga 
boleh kekal aman, sejahtera dan makmur dari segi ekonomi, sosial dan 
politiknya. Pemimpin sebegini juga boleh memberikan kita keyakinan dan 
kepercayaan kerana kita percaya, resipi keamanan dan kelangsungan 
kejayaan negara bergantung kepada perasaan selamat. 
Perasaan selamat ini
 bergantung kepada keyakinan dan kepercayaan ke atas pemimpin yang 
dipilih itu. Maka rakyat hendaklah memilih pemimpin dengan pilihan yang 
tepat. Daripada jumlah 2.5 juta ini, 80% daripadanya iaitu 
sekitar dua juta pengundi terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun 
ke bawah. Mood golongan belia mengenai kecenderungan politik sebenarnya 
agak susah dibaca. Bagi mereka yang tidak teliti, hakikat mengenai 
sokongan politik belia mungkin disalah tafsir. 
Bagaimanapun, kehadiran 
2.5 juta pengundi baru pada PRU13 bakal memberi impak besar dan pastinya
 mempengaruhi keputusan. Jentera pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN 
semestinya tidak boleh terlepas pandang terhadap jumlah besar pengundi 
kali pertama dan mesti mengatur strategi memenangi hati mereka pada saat
 akhir.
