22  Jamadil Awal  1434 H. [MOD] -
ANALISIS
 - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi pilihan raya 
umum ke-13 (PRU13) dengan rekod cemerlang yang dibuktikan sepanjang 
empat tahun menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberi 
manfaat besar kepada rakyat, kata seorang penganalisis politik.
Datuk Dr Kaisan Abdul Rahman berkata, rekod cemerlang Najib pastinya 
sudah dinilai dan dihargai rakyat jelata yang akan memberikan mandat 
lebih besar kepada beliau untuk menerajui dan membawa Malaysia mencapai 
tahap negara maju berpendapatan tinggi sebelum 2020.
"Saya yakin rakyat yang berpendidikan dan bijaksana akan memberikan 
mandat yang besar kepada Datuk Seri Najib. Ini kerana bagi rakyat, yang 
terpenting ialah masa depan mereka dan generasi muda anak cucu mereka 
yang lebih terjamin.
"Hanya Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dapat 
berperanan secara sinergistik memastikan masa depan terbaik buat 
Malaysia. Pembangkang bukanlah pilihan kerana hanya beretorik, memberi 
janji kosong lantaran manifesto mereka bukan untuk ditunaikan," katanya 
kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata kajian rambang yang dilakukannya di Kelantan yang 
kononnya taksub terhadap Pas sebelum ini, kini menunjukkan trend 
perubahan yang kian jelas memihak kepada BN lantaran rakyat Kelantan 
telah bosan dengan ribuan helah dan alasan Pas menutupi kegagalannya 
sepanjang lebih 20 tahun memerintah.
Dr Kaisan berkata lebih 800,000 pengundi di Kelantan telah lama membuka 
mata dan menyedari bahawa semua projek pembangunan di Kelantan adalah 
hasil usaha BN dan Najib yang memberi perhatian khusus kepada negeri 
ini.
"Memang benar selama ini ramai berpendapat rakyat Kelantan tidak begitu 
ketara menyokong Umno dan BN tetapi kini dengan kerja keras dan 
keikhlasan BN tidak mengenepikan Kelantan, mereka sedar sudah tiba 
masanya untuk berterima kasih kepada BN melalui sokongan dan undi pada 
PRU13 ini," katanya.
Beliau percaya rakyat Kelantan, terutama puluhan ribu pengundi muda dan 
pengundi pertama kali juga akan mengundi BN kerana mereka mahukan 
peluang pekerjaan yang lebih baik, taraf kehidupan yang setanding dengan
 rakan mereka di negeri lain dan keyakinan terhadap kerajaan yang 
prihatin terhadap kebajikan mereka.
"Bukan sahaja penduduk Kelantan tetapi juga rakyat Malaysia seluruhnya 
sangat merasai kasih sayang yang dicurahkan Najib melalui pelbagai 
program dan program transformasi nasional. Semuanya dilaksanakan merata 
tanpa meminggirkan mana-mana pihak termasuk penduduk di negeri 
pembangkang," katanya. 
Pesara dan pemerhati politik tempatan Kelantan, Zainab Yusoff pula 
berpendapat langkah Perdana Menteri memilih mengumumkan pembubaran Dewan
 Rakyat setelah genap empat tahun menerajui kerajaan, "rupa-rupanya 
untuk memenuhi sebaik mungkin tempoh mandat dan amanah memerintah."
Beliau berkata usaha Najib menunaikan amanah empat tahun itu memberi 
kesan besar kepada pola fikiran rakyat terhadap percaturan politik 
kerana orang lain mungkin akan mengadakan pilihan raya umum secepatnya 
sebaik menyambung tampuk kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, demi 
meyakinkan diri.
"Saya percaya rakyat kini nampak jelas kepentingan tempoh empat tahun 
itu yang dihargai Najib sepenuhnya dengan melakukan pelbagai usaha 
transformasi yang terbaik untuk Malaysia. Kini untuk lima tahun ke 
depan, wajarlah rakyat memberi pula kepada Najib mandat dan sokongan 
untuk kepimpinannya sendiri," katanya.
Zainab berkata, kalau dalam empat tahun yang penuh cabaran dan dugaan 
terhadap kepimpinannya serta kedudukan BN tanpa dua per tiga majoriti di
 Dewan Rakyat, Najib sudah dapat mencatat rekod cemerlang, pastilah 
dengan majoriti yang lebih besar PRU13 beliau akan memacu Malaysia 
menjadi lebih cemerlang.
Rekod cemerlang kerajaan BN pimpinan Najib juga mendapat perhatian dan 
sokongan generasi muda khususnya di kalangan mahasiswa yang sedar bahawa
 peluang yang mereka peroleh untuk menimba ilmu bagi membina masa depan 
adalah usaha
kerajaan BN selama ini.
Seorang pemimpin pelajar Universiti Tun Abdul Razak, Afiq Radzuan 
berkata, pinjaman PTPTN, bantuan baucer buku, kad diskaun pelajar 
contohnya adalah inisiatif yang membuktikan keprihatinan kerajaan BN 
bagi kemajuan dan kesejahteraan mahasiswa.
Beliau percaya mahasiswa yang merupakan golongan majoriti senyap akan 
mengundi BN pada PRU13 kerana mereka tidak akan mempertaruhkan negara 
dan masa depan kepada pakatan pembangkang yang merupakan 'parti politik 
yang keliru dan
mengelirukan'.
"Majoriti kami memang senyap tetapi bukan bererti kami tidak berfikir 
dan menilai baik buruk... kami senyap kerana kami tidak mahu kampus 
dilanda rusuhan jika berdepan secara keras dengan segelintir mahasiswa 
yang diperalatkan pembangkang.
Tengoklah dalam PRU ini mahasiswa akan mengajar mereka melalui peti undi," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Najib bertindak bijaksana mengumumkan pembubaran Dewan 
Rakyat hanya setelah membentangkan semua pencapaian kerajaan BN untuk 
dinilai rakyat dan bukannya hanya dengan cakap-cakap kosong seperti 
pembangkang.
"Malaysia ibarat sebuah rumah yang sudah sangat indah untuk kami, 
generasi muda, warisi. Takkanlah kami nak robohkannya hanya kerana 
janji-janji kosong pembangkang kononnya untuk mendirikan mahligai.
"Bagi BN, kami yakini janjinya ditepati. Datuk Seri Najib dan Muhyiddin 
merupakan teladan terbaik buat kami pemimpin masa depan," katanya.  - 
Bernama
