25  Jamadil Awal  1434 H. [MOD] -
KUALA
 TERENGGANU - Dua pemandu bot, seorang daripadanya cedera di bahu kiri 
akibat ditikam menggunakan badik, setelah diserang dalam dua kejadian 
berasingan di Pulau Perhentian semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP, K Manoharan berkata, kejadian
 pertama berlaku kira-kira 8.15 pagi ketika mangsa berusia 29 tahun 
berada di Pasir Panjang untuk menunggu pelancong sebelum didatangi lima 
lelaki tidak dikenali dan seorang daripada mereka tiba-tiba terus 
menikam bahu mangsa.
Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, pemandu bot yang takut 
dengan serangan itu, berjaya melepaskan diri untuk mendapatkan bantuan 
penduduk kampung, mengakibatkan kelima-lima suspek terus melarikan diri.
Katanya mangsa dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan dan dilaporkan stabil.
Beliau berkata, polis percaya motif serangan berpunca daripada hutang lama dan serangan dipercayai dilakukan orang luar.
Manoharan berkata dalam kejadian kedua 45 minit selepas itu, enam lelaki
 dan seorang wanita bertindak menyerang seorang pemandu bot di pulau itu
 dan memaksa pemandu bot berusia 28 tahun itu membawa mereka ke jeti 
Kuala Besut.
Katanya semasa di dalam bot suspek bertindak mengajukan senjata 
dipercayai pistol ke kepala mangsa dan mangsa yang takut dengan tindakan
 itu membawa kesemua suspek ke jeti Pasir Panjang.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek bukan merupakan orang pulau itu 
kerana mereka menginap di sebuah chalet di pulau berkenaan. Namun ketika
 serbuan dilakukan kesemua suspek telah melarikan diri," katanya.
Manoharan berkata, polis tidak menolak kemungkinan serangan dalam 
kedua-dua kes itu dilakukan suspek yang sama dan turut bermotifkan balas
 dendam serta hutang.
Katanya hasil siasatan polis berjaya mengenal pasti seorang suspek 
berusia 26 tahun yang berasal dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut 
dipercayai terlibat dalam kes serangan membabitkan dua pemandu bot 
berkenaan.
"Kita telah menyerbu ke rumah suspek namun suspek melarikan diri dan 
kini kami masih memburu enam lelaki dan seorang wanita yang berusia 20 
hingga 30 tahun," katanya. - Bernama
