24  Jamadil Awal  1434 H. [MOD] -
Penunggang motosikal melintasi deretan bendera parti yang dipasang di kiri kanan bahu jalan Kampung Penor, Kuantan.
Ramalan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 
(PRU13) ini akan menjadi PRU paling sengit dalam sejarah negara, 
nampaknya sudah mula menunjukkan kebenarannya awal-awal lagi.
Baru kelmarin Perdana Menteri 
mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 
belum membuat keputusan mengenai tarikhnya, kempen pun entah bila akan 
bermula.
Tetapi mereka yang dijadualkan bertempur
 dalam ‘peperangan’ yang digerakkan oleh gendang perang yang dipalu 
Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan sekadar bersiap sedia, malah sudah 
mula menggempur musuh masing-masing.
Di setengah tempat di beberapa negeri, 
kepanasannya sudah terlalu meluap hingga mencetuskan tindakan tidak 
wajar di kalangan mereka yang nakal.
Hanya tindakan pantas dan bijak pihak berkuasa mampu menyekat keadaan seperti dari melampaui batas.
Pemimpin-pemimpin parti tidak terlepas 
daripada cabaran, sindiran dan asakan untuk bertindak memenuhi kehendak 
pengundi, penyokong dan ahli parti di pelbagai peringkat.
Najib sendiri dicabar ‘suara-suara 
nakal’ meninggalkan kubu beliau di Parlimen Pekan, Pahang, yang beliau 
bertapak sejak mula menceburi politik awal 70-an.
Namun, Najib, sebagai pemimpin Umno dan 
Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman, tidak mudah melatah untuk 
menyambut cabaran seperti itu.
Beliau dicabar mengikut jejak Ketua Umum
 Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan penyokong 
sebagai meninggalkan kerusi selamat untuk bertanding di tempat lain, 
bagi buktikan ketokohan seorang pemimpin.
“Dia (Anwar) rasa tidak selamat di 
Permatang Pauh dan meninggalkan rakyat yang telah menyokong selama dia 
terlibat di dalam politik.
“Saya tak pernah terfikir untuk 
meninggalkan (Parlimen) Pekan. Saya akan hidup dan mati di Pekan, secara
 politiknya,” katanya ketika menjawab soalan pemberita semalam.
Bahkan, bagi Najib, kalau Anwar boleh 
meninggalkan Permatang Pauh, beliau juga mampu meninggalkan sesiapa 
sahaja pada masa akan datang.
Anwar kelmarin menegaskan beliau bukan 
lari atau tidak menghargai penyokong-penyokong di Permatang Pauh, tetapi
 mahu mengukuhkan kedudukan PR di Perak, negeri yang dirampas BN dalam 
suasana yang penuh kontroversi, kira-kira 11 bulan selepas PR memerintah
 negeri itu.
Penghijrahan Anwar turut menerima tentangan hebat Naib-Pengerusi Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, mengisytiharkan ‘perang’ dengan Anwar.
“Kita akan pastikan Anwar kalah (di mana
 sahaja di Perak beliau bertanding),” tegas Menteri Pertahanan itu, 
ketika bercakap kepada pemberita, semalam.
Di Kelantan, keadaan agak panas apabila calon Pas tidak menyenangkan setengah penyokong.  
Selepas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul 
Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan mahu mengekalkan Saipul Bahrin 
Mohamed sebagai calon Pas Dun Selising 30 Mac lalu, segelintir penyokong
 Pas menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan pemilihan itu.
Kumpulan ini dikatakan mengadakan 
perbincangan dan antara lain memutuskan mahu menaja calon bebas sebagai 
tanda protes terhadap pengumuman Menteri Besar Kelantan itu.
Polis Kelantan juga sedang menyiasat 
kejadian sebuah papan tanda milik kerajaan negeri, yang memaparkan 
gambar Nik Abdul Aziz serta kenyataan kata-katanya, mengenai ‘Tujuh Dosa
 Umno’ di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong yang dilempar 
minyak tanah dan dibakar pagi semalam.
Bahang ini dijangka semakin meluap menjelang kempen PRU.
Pelbagai tuduhan dan dakwaan akan dibuat penyokong parti dalam usaha mencapai matlamat masing-masing.
Siapa menang, siapa kalah adalah adat sesuatu pertandingan. Yang penting
 ialah  semua pihak, tidak kira di sebelah mana mereka berpihak, perlu 
memainkan  peranan untuk menjamin proses PRU13 ini berjalan lancar, 
adil, dan aman.
Sinar/-
