27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Beliau lebih bersedia jadi khadam (orang suruhan) rakyat berbanding
jawatan Perdana Menteri sekiranya itu yang dimahukan oleh majoriti
rakyat.
SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak ‘pelawaan’
Barisan Nasional (BN) supaya menjadi Perdana Menteri jika mendapat
mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti.
Abdul Hadi berkata, beliau lebih bersedia jadi khadam (orang suruhan)
rakyat berbanding jawatan Perdana Menteri sekiranya itu yang dimahukan
oleh majoriti rakyat.
“Saya tak boleh mendahului rakyat…rakyat perlu menangkan calon (Pakatan Rakyat) terlebih dahulu baru boleh tahu siapa PM.
“Apa yang penting Perdana Menteri itu mestilah orang Islam yang diterima
semua rakyat dan tiada masalah dengan orang kerajaan, Raja serta
Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media selepas memberikan
ucapan dalam wacana ‘Bicara Minda’ di Kompleks Karangkraf di sini tadi.
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak semasa pelancaran manifesto pada
Sabtu lalu melontarkan soalan cepu mas kepada rakyat tiga calon yang
boleh dipercayai untuk menjadi Perdana Menteri – sama ada Hadi, Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dirinya sendiri.
Ditanya mengenai kerusi, Abdul Hadi berkata PAS serius dengan hasrat
untuk meletakkan calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan
bertanding atas lambang PAS.
“Masalah kita calon bukan Islam ini sudah jadi calon DAP dan PKR.
“PAS perlu cari kawasan yang munasabah untuk mereka,” katanya.
Katanya, pihaknya masih berusaha meletakkan calon bukan Islam di setiap
negeri sebelum tarikh penamaan calon diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR).
“Kita sedang berusaha supaya DHPP yang terdiri daripada pelbagai bangsa
akan ada. InsyaAllah calon India, calon Cina, calon Iban akan ada,”
katanya.
Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah kerusi yang akan diberikan kepada DHPP.
Konsep Negara Islam
Beliau turut menolak dakwaan PAS menukar konsep Negara Islam kepada
Negara Berkebajikan kerana sukar melaksanakan hukum syariah dalam negara
yang berbilang kaum.
Katanya, persepsi ‘Negara Berkebajikan’ itu lebih mudah difahami dan
diterima semua masyarakat majmuk di Malaysia tanpa mengenepikan hukum
Islam.
“Tiada percanggahan (Negara Islam) dengan Negara Berkebajikan.
“Itu perkataan seerti dimana pertukaran konsep semata-mata untuk
memudahkan orang faham dan akhirnya semua dapat terima konsep Islam
sebagai agama Persekutuan,” katanya.
FMT/-