25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ketika
Pakatan Rakyat (PR) bertungkus lumus menjelajah ke seluruh negara bagi
membentangkan manifesto pilihan raya kepada rakyat, Umno BN mendapat
laluan mudah apabila manifestonya disiarkan secara langsung oleh media
milik kerajaan dan media arus perdana.
“Agak lucu apabila dia (Umno BN) tawarkan 10 minit kepada Pakatan Rakyat
untuk bentangkan manifesto (secara rakaman),” kata Ahli Majlis Pimpinan
Pusat PKR, Datuk Johari Abdul kepada TV Selangor hari ini berhubung
perkara itu.
Majlis pelancaran manifesto BN untuk PRU13 oleh Presiden Umno, Datuk
Seri Najib di Stadium Bukit Jalil malam ini dalam satu majlis khas akan
disiarkan secara langsung oleh media perdana di negara ini.
Johari turut mempersoalkan siaran langsung tersebut kerana kerajaan yang
wujud ketika ini adalah kerajaan sementara di mana Umno BN sebagai
pentadbir tidak boleh menggunakan agensi atau jentera kerajaan bagi
kerja parti.
“Saya ingin bertanya sama ada Umno BN membayar atau tidak kepada RTM
kerana menggunakan fasiliti kerajaan. Secara undang-undang, dia (Umno
BN) tidak boleh menggunakannya untuk tujuan kerja-kerja parti,” ujarnya
dipetik Selangorku.
Johari mendakwa, Umno BN melakukan perubahan terhadap manifestonya yang
diyakini telah disiapkan awal tetapi ditarik semula apabila PR
melancarkan manifesto lebih awal.
Sebagai contoh, katanya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak pernah
didebatkan di dalam Parlimen sama ada bagi bajet 2010, 2011 atau 2012.
“Bila PR menyediakan Buku Jingga pada 2010 yang didalamnya jelas
menyatakan bantuan RM1,000 setahun kepada rakyat khususnya berpendapatan
rendah maka Umno-BN lantas melancarkan BR1M walaupun tiada bajet
diluluskan oleh Parlimen.
“Ini menunjukkan Umno-BN ketandusan idea. Dia cuma akan buat
‘adjustment’ terhadap apa yang dia ada dan mengikut apa dicadangkan PR.
Bagi saya, Umno-BN tidak mempunyai ‘originality’ tetapi ‘copycat’,”
katanya.
Harakahdaily/-