skip to main |
skip to sidebar

- Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin (1937 – 22 March 2004)
telah dilahirkan di sebuah kampung bernama
Al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun
1938. Beliau telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika
pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin,beliau dan keluarganya
dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.
- Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang
di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika
berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif
di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa
kemalangan, dimana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang
menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.
- Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang
beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan
juga aktiviti-aktiviti Islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan
pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti
tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke penghujungnya apabila beliau
telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana
penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih
dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa
Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya.
- Ujian yang getir ini tidak sedikit pun
membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan
tersebut untuk memperjuangkan Islam dan dakwah islamiyyah.
- Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan
bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa
Arab dan juga khatib di masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja
beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan
khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas
Gaza pada tahun 1967.
- Selain daripada dua tugas utama tersebut,
Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai
pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak
remaja dan para pemuda dengan didikan Islam. Hasil dari usaha tersebut
sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang
hebat di kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota
pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah
pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin
yang diberikan nama Mujamma al-Islam.
- Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja.
Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk
berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah
menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai "Al-Mujahidun
Al-Filastiniyyun" pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan
"Kataib Syuyukh" yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan
perjuangan mereka. Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang
dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin
untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka
dan juga Masjid al-Aqsa.
- Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan
sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan
dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memiliki senjata api
dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Beliau telah
dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera
Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di
antara pihak PLO (Palestine Liberation Organization) dengan rejim
Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama
11 bulan.
Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak
lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa,
begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap
rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam
pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam
yang dikenali sebagai HAMAS (Harakah Al Muqawamah Al Islamiyyah ) pada
tahun 1987.
- HAMAS telah memulakan corak baru penentangan
cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran
secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan
ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang
dikenali dengan nama "Atfal Hijarah"(Kanak-kanak Batu) kerana
menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan
yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali
sebagai "Intifadah". Kesan dari "Intifadah" ini amat hebat, pihak
tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai
tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.
- Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak
tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan
Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau bersama
ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana
kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut
dalam usaha membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel. Sekali
lagi mahkamah tentera Israel pada 16/10/ 1991 telah menjatuhkan hukuman
15 tahun penjara ke atas Sheikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan
yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan
juga menyerang tentera-tentera Zionis.
- Kesan dari penahanan tersebut beliau telah
mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga
hilang penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada
mata kirinya selain daripada masalah pendengaran akibat tekanan dan
deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau
dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya.
Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara
terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
- Pada 13/12/1992 kumpulan komando HAMAS yang
dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera
Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka
menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan
Sheikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang
telah berumur. Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan
tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan
dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera
Zionis yang ditawan itu mati dibunuh beserta dua tentera Zionis yang
lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat
kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota
Baitul Maqdis.
- Pada 1/10/1997, hasil dari perundingan
pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Sheikh
Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah
berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka
gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled
Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik
tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang
diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Sheikh
Ahmad Yassin dibebaskan.
- Sejurus pembebasannya Sheikh Ahmad Yassin
kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS
yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin
digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya
Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon
telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi
Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk
bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar
kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah
yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel.
Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah
kalah. Hasilnya pelbagai usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang
kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh
orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang
Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.
- Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa
pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh
rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga
kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab
dan lain-lain lagi. Sheikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha
jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6 / 9 / 2003 bilamana sebuah
helikopter Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan
rumah Sheikh Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami
kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh
Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya
ketika beliau di dalam perjalanan.
- Namun, pada subuh 22 / 3 / 2004, mereka sekali
lagi menyerang Sheikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang
dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah
roket telah dilancarkan ke atas Sheikh yang lumpuh itu telah
mengorbankan Sheikh Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya. Walaupun
Sheikh Ahmad Yassin telah tiada untuk membangkitkan semangat jihad,
namun beliau telah meninggallan roh jihadnya buat para pejuang yang
cintakan Islam dan mahukan bumi Palestin dibebaskan.
0 Responses so far.